Hear me O’Allah

Sunday January 01 2006

 

 

Ya Allah…..

 

Mereka merayakan tahun baru ini dengan bersuka ria. Berpesta dengan pergaulan yang bebas.Erti malu sudah pupus. Ramai diantara mereka adalah bin dan binte si polan. Anak-anak Melayu? Saudara-saudara seIslam?. Sayangnya itu bukanlah peradaban yang sepatutnya ada pada seorang yang mengaku dirinya orang Islam mahupun orang Melayu. Aku takut Ya Allah. Takut akan kemurkaanMu. Tapi bagaimana dengan mereka?. Mereka terus bergembira padahal Engkau murka. Astaghfirullah..

 

Ya Allah…..

 

Tidak semua yang begitu. Hanya Engkau sahaja yang tahu. Maka limpahkanlah hidayahMu dan petunjukMu kepada kami yang takut kepada kemurkaanMu, yang mencintaiMu dan hanya mengharapkan keredhaanMu.

 

 

 

Saturday December 31 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

31 Disember menjelma lagi.. maka bertambahlah setahun lagi pada umurku ini.. semakin hampir aku kepada ajal.. dari itu, tambahkanlah iman dan taqwa di dalam jiwaku ini YaAllah.. Aku mengharapkan keredhaanMu semasa hidupku ini, juga sewaktu malaikat maut datang untuk menjemputku dan setelah rohku meninggalkan alam yang fana’ ini..

 

Ya Allah…..

 

Hanya Engkau sahaja yang mengerti akan harapanku ini… Allah…

 

 

 

Friday December 30 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

Ternyata Engkau lebih menyayangi teman seperjuangan kami ini..

 

Alfatihah ila ruhi sodiqatina ash-shahidah fi sabeelillah, Siti Khadijah Binte Ahmad yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini di tempat beliau menuntut ilmu, Iskandariah Mesir Bumi Anbiya’.. Allahummargfir laha warhamha wa’afiha wa’fu ‘anha wajma’aha ma’assolihin wahabibina alMustafa alaihissolatu wassalam…

 

 

 

Sunday November 6 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

Sakitnya jiwa hambamu ini yang diselubungi kerinduan yang mendalam. Belum pernah sebelumnya diri ini merasakan keperitan yang sebegini rupa di dalam sebuah kerinduan. Mengapa bisa Ya Allah.

 

Ya Allah…..

 

Hambamu ini malu Ya Allah kerana bisa jatuh cinta kepada makhlukmu sedangkan dia itu juga milikmu, di dalam kekuasaanmu dan tidak akan bisa kekal sepertimu. Engkau sentiasa kekal Ya Allah. Begitu juga cintamu sedangkan cinta makhluk itu bisa sahaja hilang dibawa zaman. Jadikanlah perasan cintaku ini kepadanya semata-mata untukmu dan keranamu Ya Allah. Semoga perasan cintaku kepadanya yang Engkau tanamkan di dalam hatiku adalah untuk mendekatku kepadamu Ya Allah. Walaupun berjauhan dan sentiasa terpisah tetapi ianya adalah keranamu Ya Allah. Apabila Engkau menemukanku dengannya, bantulah kami untuk sentiasa dalam keadaan mengingatimu dan kekasihmu Rasulullah. Redhailah pertemuan kami Ya Allah. Hadirkanlah Rasulullah di setiap saat kami mengingatimu dan Rasulullah. Engkaulah kekasih kami yang sebenar Ya Allah. Begitu juga cinta kami sangat mendalam untuk kekasih abadimu Rasulullah. Maka jadikanlah kami dalam keadaan bercinta hanyalah semata-mata untuk sentiasa mencintai, mentaati dan mengingatimu serta Rasulullah.

 

Ya Allah…..

 

Bagaimana aku bisa mengatakan cintaku kepadamu Ya Allah. Bagaimana aku bisa mengirimkan kata-kata cintaku kepada Rasulullah sedangkan aku masih belum melaksanakan hak-hakmu dengan sempurna. Aku masih belum mampu membahagiakan Rasulullah dengan amalan-amalanku yang masih terlalu berkurangan. Aku tidak mahu membohongimu Ya Allah dan aku tidak sanggup membohongi kekasihku Rasulullah dengan meluahkan rasa cintaku kepadamu dan Rasulullah sedangkan aku masih berpaut dengan cinta kepada perkara-perkara duniawi. Ya Allah bantulah hambamu ini supaya dapat memilih cinta yang hakiki. Aku mencintaimu Ya Allah. Aku bisa terpaku dengan kebesaranmu Ya Allah. Aku bisa terharu dengan sifat-sifatmu yang Maha Agung. Engkaulah yang memiliki rahmat yang tidak terbatas luasnya. Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Engkaulah segala-galanya. Aku juga tidak sanggup membayangkan kesedihan Rasulullah apabila beliau tahu betapa aku tidak menjalankan amanah untuk meneruskan perjuangannya.

 

 

 

Friday November 4 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

Hambamu ini lagi rasa kecewa. Berbagai bagai perasaan yang sedang bermain di dalam hati ini yang sememangnya milikmu. Perasan-perasan ini juga Engkaulah yang telah memberikan kepadaku Ya Allah. Aku tidak larat. Aku tidak mampu. Aku tidak kuat. Tetapi aku tetap redha. Aku takut untuk mengatakan yang aku kesal dengan pemberianmu kerana aku takut untuk mendapat kemurkaanmu Ya Allah. Jadikanlah aku hamba yang sentiasa redha untuk menerima segala-galanya. Berikanlah aku kekuatan untuk menahan ujian-ujian yang telah disiapkan untukku. Aku akan cuba sedaya-upaya untuk menerimanya Ya Allah tetapi aku masih mengharapkan pertolonganmu untuk menghadapinya. Aku tidak ada kekuatan walau sedikit pun. Tiada siapa selain Engkau yang mempunyai kekuatan dan kemampuan.

 

Ya Allah…..

 

Hambamu ini bisa kebingungan. Kapan-kapan sahaja diri ini mampu terbang di awangan tetapi bukan berterbangan bebas. Jasad mahu sahaja melepaskan diri tetapi pemikiran menariknya kembali. Pemikiranku lagi mencari jalan yang terbaik untuk membenarkan keadaan. Tetapi bagaimana diri ini bisa tahu akan jalannya Ya Allah. Ke kanan atau ke kiri. Mungkin ke hadapan sahaja tetapi mungkin juga ke belakang. Aku tidak tahu jalan yang mana. Ya Allah sesunggungnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan Maha menentukan segalanya. Biarlah diri ini mencuba setiap jalan yang ada. Inilah rancanganku. Masih lagi hambamu yang lemah ini mengharapkan Engkau untuk memberikan arah tujuan yang benar kepadaku Ya Allah. Penentuanmu selalunya adalah yang terbaik. Hambamu ini hanya mampu merancang tetapi Engkaulah yang menentukan segalanya. Bukanlah jalan ke kanan atau ke kiri yang akan kuambil. Bukan jua ke hadapan ataupun ke belakang. Tetapi diri ini masih tetap memaku di tempat asal, diantara empat penjuru yang harus kupilih untuk dilalui. Lalu di tengah-tengah situ, dalam kesempitan memendam rasa kebingungan, hambamu ini menjatuhkan diri untuk bersujud kepadamu Ya Allah, untuk memohon pertolonganmu Ya Allah serta petunjuk dan hidayahmu. Semoga langkah seterusnya yang kuambil adalah atas dasar ketentuanmu yang Engkau redhai bagiku.

 

 

 

Wednesday November 2 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

Bermacam-macam jenis manusia di luar sana Ya Allah. Bagaimana harus aku keluar untuk menghadapi mereka. Mengapa masih aku berfikiran tentang apa yang mereka akan fikirkan tentang diriku. Aku tidak peduli apa yang mereka fikirkan tentang diriku Ya Allah. Aku tidak mahu melakukan perkara yang bisa membuat mereka kagum kepadaku tetapi Engkau tidak menyukainya. Aku menginginkan kebanggaan dari pandanganmu Ya Allah. Aku mengharapkan senyuman di bibir mulia Rasulullah dengan perbuatanku. Aku tidak mahu tersungkur gara-gara mengejarkan pujian manusia. Bantulah hambamu ini untuk meraih kemuliaan di pandanganMu dan kekasihMu Rasulullah walaupun dipandang hina oleh manusia di luar sana.

 

 

 

Monday October 31 2005

 

 

 

Ya Allah…..

 

Hambamu ini sudah dapat merasakan kekerdilan diri. Apabila aku berada di pantai sendirian di malam hari, aku terpaku sejenak melihat ciptaanmu Ya Allah. Segalanya sudah jelas berada di hadapanku Ya Allah. Dalil-dalil kehebatanmu. Langit yang luas dengan tidak bertiang mampu bertahan begitu sahaja. Tidaklah ia dapat bertahan kecuali dengan kemampuan Engkau untuk menahannya daripada jatuh menghempap kami bersama-sama sekian banyaknya bintang-bintang yang setiap satu menyerupai matahari ataupun jauh lebih dasyat daripada matahari. Kelihatan cantik langit di siang hari dengan keberadaan awan-awan putih bergerakan di langit yang berwarna biru. Dengan kehadiran matahari sahajalah kami mampu melihat warna-warni yang indah dan ciptaan-cipataanmu yang lainnya di permukaan bumi ini. Kami bisa melihat Ya Allah tapi kebanyakkan daripada kami masih buta.

 

Ya Allah…..

 

Hambamu ini memohon keampunan kerana membuat diri ini buta padahal nikmat mata untuk melihat telahpun Engkau karuniakan. Selama ini aku buta Ya Allah. Aku buta Ya Allah. Maafkan aku Ya Allah. Aku sudah cuba untuk mencelikkan mataku ini yang sememangnya Engkau jadikan sempurna tetapi aku pejamkannya. Aku tidak sengaja Ya Allah. Bantulah hambamu ini untuk mencelikkannya agar aku bisa melihat kebenaran dan apabila mata ini sudah celik, janganlah Engkau membiarkan aku tertidur pula iaitu lalai.

 

 

Leave a comment